View: 395|Reply: 0
|
[Terengganu]
'Kabel elektrik rosak ketika banjir punca gangguan bekalan elektrik'
[Copy link]
|
|
Edited by mattzzx at 17-5-2022 03:08 PM
Wan Ramlah (kiri) mengalihkan makanan dalam peti ais selepas mengalami masalah bekalan elektrik di Kampung Pulau Sekati. NSTP/GHAZALI KORI
KUALA TERENGGANU: Kemusnahan jambatan kayu Pulau Sekati di sini akibat banjir pada 28 Februari lalu yang turut menempatkan kabel elektrik menyebabkan penduduk di Kampung Pulau Sekati mengalami masalah gangguan bekalan elektrik dan tekanan air rendah.
Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa gangguan bekalan elektrik sistem voltan rendah menyebabkan bekalan makanan dan keperluan memasak rosak disebabkan peralatan elektrik tidak berfungsi dengan baik.
Masalah tekanan air rendah turut mengganggu kira-kira 200 penduduk daripada 48 keluarga untuk mendapatkan bekalan air sempurna walaupun majoriti penduduk menggunakan sumber air telaga.
Penduduk, Wan Ramlah Wan Sharif, 61, berkata gangguan yang berlaku menyebabkan bahan mentah disimpan rosak, selain perlu mengambil masa lama untuk memasak.
"Sejak kejadian itu, memang bahan mentah tidak tahan lama dan cepat rosak, saya sendiri mengambil masa lebih lama untuk menyiapkan tempahan ketupat.
"Sebagai contoh, biasanya saya hanya memerlukan 40 minit untuk mengukus ketupat tetapi waktu mengukus terpaksa ditambah 20 minit lagi untuk memastikan ketupat masak sepenuhnya.
"Selain itu, peralatan elektrik seperti televisyen juga pernah rosak, manakala lampu juga berkelip-kelip sementara kipas ada kalanya laju dan tiba-tiba jadi perlahan," katanya.
Bagi Mohd Sanizam Abd Rahman, 43, gangguan dan voltan rendah menyukarkan penduduk yang menggunakan mesin untuk menyedut air telaga.
"Penduduk di sini guna air telaga tetapi golongan warga emas dan bayi kecil masih memerlukan bekalan air paip yang sempurna.
"Apabila air paip perlahan, kami terpaksa guna air telaga tetapi mesin penyedut air pula tidak dapat digunakan kerana bekalan elektrik terganggu," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, masalah dialami penduduk di kampung itu dalam perhatian kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri sedang mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan bersama agensi berkaitan.
"Mengenai permintaan penduduk membina semula jambatan kayu menghubungkan Kampung Pulau Sekati dan Kampung Paloh, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri esok.
"Perbincangan ini untuk kita tengok pilihan terbaik, saya tidak kata bina jambatan baharu tetapi kita tengok pilihan terbaik, yang paling segera dan ekonomikal (mengatasi masalah di kampung berkenaan)," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... an-bekalan-elektrik |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|