|
Edited by mattzzx at 25-5-2022 04:39 PM
Psawat ringan yang ditenggelamkan di Pulau Lang Tengah, Terengganu pada Jumaat lalu mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records. - Foto PPTD DIVERS
Tukun pesawat ringan yang ditenggelamkan kumpulan penyelam Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Malaysia di Pulau Lang Tengah, Terengganu sebagai tukun rekreasi, disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBR).
Pesawat sepanjang kira-kira 10 meter dan lebar sayap 12 meter itu sudah melalui proses pengubahsuaian enjin, tingkap dengan beberapa komponen dibawa keluar bagi menggalakkan pembiakan hidupan laut serta memudahkan penyelam menikmati pengalaman di tukun berkenaan.
Presiden PPTD Malaysia, Datuk Seri Sallehhuddin Hassan dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, berkata insiatif berkenaan digerakkan PPTD Divers pada Jumaat lalu, membabitkan sebuah kapal terbang ringan jenis Piper PA-31 Navajo atau Chieftain.
"Usaha itu dilaksanakan bermula 19 hingga 22 Mei lalu dan kali pertama seumpamanya dilakukan di Malaysia. Ia diharap dapat membantu pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin dengan menggalakkan pertumbuhan terumbu karang di samping menjadi tarikan di Pulau Lang Tengah," katanya.
Sallehhuddin berkata, ketika perancangan projek berkenaan, PPTD sudah mendapat pengesahan daripada Bahagian Taman Laut, Jabatan Perikanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) serta MBR bagi memastikan semua garis panduan dan piawaian berkaitan diambil kira dan dipatuhi.
Pesawat ringan yang ditenggelamkan di Pulau Lang Tengah, Terengganu. - Foto PPTD DIVERS
"Ia termasuk aspek keselamatan alam sekitar agar tukun yang ditenggelamkan adalah mesra alam sekitar dan hidupan marin. Tukun berkenaan berjaya diturunkan pada kedalaman 18 meter di dasar laut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pesawat ringan berkenaan dilabuhkan di kawasan dasar berpasir dan akan dapat mengurangkan tumpuan penyelam di terumbu karang.
"Dengan ini, tekanan ke atas terumbu karang di sekeliling perairan Pulau Lang Tengah dapat dikurangkan sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam marin.
"Usaha ini turut melibatkan pemilik rangka kapal terbang, Dorken Reef Resources (DRR), yang berkepakaran dalam pengendalian pemasangan dan pembinaan tukun," katanya.
Katanya, program itu mendapat kerjasama kerajaan Terengganu, Jabatan Perikanan, Kementerian Kewangan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta sokongan strategik Summerbay Resort Lang Tengah, Evenesis dan Gaya Travel Magazine
https://www.bharian.com.my/berit ... t-ringan-jadi-tukun |
|