Kanak-kanak berusia lima tahun maut dibunuh abang tirinya dengan kejam sebelum mayatnya dicampak ke sungai.
Ekoran kejadian, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang remaja di Britain selepas Craig Mulligan, 14, didapati bersalah membunuh Logan Mwangi, lapor Daily Star semalam.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202207/01/193047gxbgeezgfooo2bxe.jpg) Foto: South West Police/BBC
Mulligan didedahkan sebagai salah seorang pelaku utama pembunuhan kejam Mwangi. Pembunuhan itu dilakukan bersama ibu tirinya Angharad Williamson, 31, dan bapanya sendiri John ‘Jay’ Cole, 40.
Mulligan menyebabkan kecederaan serius terhadap Mwangi sebelum membuang mayat mangsa ke dalam sungai.
Polis menemui mayat Mwangi di Sungai Ogmore, Wales Selatan pada 31 Julai tahun lalu. Mangsa ditemui dengan 56 kesan luka dan lebam pada badannya di samping kecederaan dalaman lain.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202207/01/193046gl939nfcf0f9fcfz.jpg) Foto: BBC
Sebelum pembunuhan, tanda-tanda kejahatan Mulligan dilihat dengan jelas oleh keluarga angkatnya.
Selama lapan minggu pada bulan Jun dan Julai 2021, Mulligan tinggal dalam jagaan ibu bapa angkat yang berkata, mereka tidak dapat mengawal tingkah laku menakutkannya.
Mulligan mempunyai sejarah melakukan serangan kejam ke atas anak kecil, orang dewasa dan haiwan. Dia menggunakan latihannya dalam seni mempertahankan diri untuk menyakiti mangsa dengan teruk.
Pada akhir perbicaraan semalam, Mulligan dan ibu bapanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 15 tahun.
Sumber: Kosmo |