View: 1292|Reply: 0
|
[Selangor]
'Dah banyak agensi kerajaan datang, tempat kami tetap banjir'
[Copy link]
|
|
Penduduk Kampung, Syakila Md Razali bersama suami, Muhammad Sulaiman Jamaluddin membersihkan rumah mereka akibat banjir di Kampung Kubu Gajah. - NSTP/Genes Gulitah
SUNGAI BULOH: Empat sekeluarga termasuk seorang penghidap angin ahmar di Kampung Kubu Gajah di sini, sempat menyelamatkan diri sejurus kediaman mereka dinaiki air dalam banjir kilat, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, kira-kira 20 kediaman penduduk di kampung berkenaan dinaiki air setinggi antara 0.9 hingga 1.5 meter susulan hujan lebat lebih satu jam.
Menceritakan kejadian, Siti Hajar Mohamad, 51, berkata air naik dengan laju menyebabkan dia bersama dua anak perempuan hanya sempat menyimpan barang berharga.
"Pada mulanya air cuma paras buku lali tapi sekelip mata je air naik ke paras lutut. Kami segera simpan barang elektrik, permaidani dan dokumen ke tempat tinggi.
"Saya kemudian memapah suami yang menghidap strok berjalan ke rumah abang saya yang terletak berhampiran kerana bimbang air semakin tinggi dan rumah kami boleh tenggelam," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Siti Hajar berkata, sebaik banjir surut kira-kira 12 tengah malam mereka pulang semula ke rumah dan pasrah melihat beberapa barangan hanyut selain lantai rumah dipenuhi lumpur.
Katanya, ia bukan kejadian pertama sebaliknya kawasan kampung yang terletak berdekatan sungai itu kerap dilanda banjir sejak dua tahun lalu.
"Sebelum ini tak pernah banjir pun tapi sejak banyak kawasan perumahan baharu dibangunkan, keadaan makin teruk. Apabila hujan saja, air sungai akan melimpah.
"Kami sudah penat setiap kali hujan lebat berterusan pasti rumah kami akan dinaiki air. Dah macam-macam wakil agensi kerajaan datang buat pemeriksaan tapi sehingga kini keadaan masih sama," katanya yang juga penduduk tetap di kampung itu sejak 1970an.
Penduduk kampung, Fazirah menarik karpet yang kotor untuk dibersih dan dikeringkan susulan banjir di Kampung Kubu Gajah. - NSTP/Genes Gulitah
Seorang lagi penduduk, Syakila Md Razali, 31, berkata ketika kejadian dia dan suami, Muhammad Sulaiman Jamaluddin dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum adik menghubungi memaklumkan kejadian.
Katanya, sebaik tiba mereka terpaksa parkir kereta di tepi jalan kerana laluan masuk ke kampungnya sudah dinaiki air.
"Air sudah di paras pinggang semasa saya dan suami berjalan ke rumah. Mujur adik dan ibu sempat simpan barang berharga. Sebelum ini dah banyak peralatan rumah yang rosak dan menanggung kerugian ribuan ringgit akibat banjir.
"Ini kejadian banjir keempat tahun ini. Kawasan rumah kami dekat sungai jadi setiap kali hujan lebat mesti akan banjir. Tambah pula keadaan longkang yang tidak diselenggara dan tersumbat menyebabkan air melimpah," katanya.
Syakila berharap pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian segera bagi mengelak kejadian sama berulang dan penduduk terpaksa menanggung kerugian serta kerosakan harta benda.
https://www.bharian.com.my/berit ... t-kami-tetap-banjir |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|