|
Berita Harian
Oleh Aizat Sharif - Januari 15, 2025 @ 12:08pm
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/imam_1736914075.jpg)
Imam masjid di Kangar, Mohd Isa Abdul Karim, 53, (berpelitup muka) hadapi tujuh tuduhan terima suapan proses daftar pasangan kahwin di Thailand.
KANGAR: Seorang imam masjid dalam daerah Kangar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima suapan RM26,300 sebagai upah menguruskan pendaftaran dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) oleh pasangan yang bernikah di Thailand sejak 2022.
Tertuduh, Mohd Isa Abdul Karim, 53, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Mohd Isa didakwa sebagai ejen yang menerima suapan wang berjumlah RM26,300 menerusi akaun milik ABM Success Empire sebagai upah memproses Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) kepada tujuh pasangan yang tidak mematuhi prosedur mengikut Enakmen 7, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara 5 Disember 2022 hingga 24 Oktober 2023 di sebuah bank di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis, S Sujatha, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ariff Azami Hussein, Zuhair Ahmad Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Sujatha dalam permohonannya, meminta mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, termasuk pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Permohonan itu dibuat pendakwaan kerana tertuduh mempunyai seorang isteri warga Thailand dan ada potensi dia boleh berada di luar negara ketika prosiding perbicaraan dijalankan kelak.
Selain itu, Sujatha juga memohon mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan.
Namun, permohonan itu dibantah oleh Ariff Azami yang memohon mahkamah meringankan jaminan anak guamnya kepada RM10,000 sahaja atas alasan jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan tidak munasabah, memandangkan jumlah dakwaan suapan anak guamnya tidak mencecah hingga RM30,000.
Ariff Azami juga merayu kepada mahkamah mempertimbangkan jumlah wang jaminan anak guamnya berkenaan disebabkan tertuduh menanggung seorang isteri dan sembilan orang anak termasuk enam daripadanya masih bersekolah.
Selain itu, Ariff Azami menyatakan tiada keperluan untuk pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah memandangkan anak guamnya tidak pernah terlepas daripada melaporkan diri di Pejabat SPRM Perlis sejak tahun lalu.
Hakim yang menerima rayuan peguam bela, membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 tetapi mengarahkan dia menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 hari bulan pada setiap bulan.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan diwakili siak masjid tempat tertuduh bertugas.
Pada 13 Jun tahun lalu, media melaporkan seorang pegawai kanan JAIPs dan imam sebuah masjid di Kangar ditahan SPRM Perlis pada 5 Jun lalu bagi membantu siasatan kes penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di negeri ini sejak April 2022 hingga Jun 2023.
Selain kedua-dua suspek, seorang lagi individu turut ditahan ialah anak imam masjid terbabit yang merupakan pemilik syarikat perunding dalam urusan pernikahan di Perlis.
Hasil siasatan SPRM mendapati setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahan itu di negara ini, dipercayai akan berhubung dengan syarikat berkenaan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|