CAPAS, Filipina – Amerika Syarikat (AS) semalam menguji sistem peluru berpandu jarak jauh di ruang udara Filipina dalam satu latihan tentera bagi mengukuhkan pakatan ketenteraan Washington-Manila selepas Beijing dilihat semakin agresif di Laut China Selatan. Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) menjadi tumpuan simulasi perang oleh seramai 5,500 askar AS dan Filipina itu dengan enam peluru berpandu itu dilancarkan dari sebatang sungai yang kering, terletak kira-kira tiga jam pemanduan dari Manila. Sasaran ujian peluru berpandu itu tidak dinyatakan. Latihan tentera itu dibayangi pertikaian antara Filipina dan gergasi serantau, China berhubung tuntutan sebilangan pulau, terumbu dan perairan di Laut China Selatan. “Kami (AS dan Filipina) adalah sekutu dan sebagai sekutu, kami perlu bekerjasama. “Pada hemat saya, kami lebih daripada gembira kerana dapat berkongsi,” kata Komander Kor Marin Pasifik AS, Leftenan Jeneral John Toolan apabila ditanya sama ada AS akan menghantar peluru berpandu HIMARS ke Filipina sekiranya konflik bersenjata tercetus di Laut China Selatan. Katanya, peluru berpandu itu memiliki jarak sasaran 300 kilometer sekali gus dapat mengenai kapal yang berada jauh di Laut China Selatan. China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk perairan dan batu berdekatan perairan beberapa jirannya. Walaupun AS tidak memihak dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan, Washington secara jelas menentang usaha Beijing menuntut perairan tersebut dan mahukan kebebasan belayar di laluan perkapalan utama dunia itu. – AFP
|