KUANTAN, 23 JAN – Tiga tonggak utama pasukan keselamatan negara hari ini, berikrar akan setia dan bergading bahu dengan Panglima Angkatan Tentera ke-19, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam menjamin keselamatan negara.
Mereka ialah Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Ketiga-tiga mereka melafazkan ikrar itu pada Perbarisan Perutusan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-19 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini, yang melibatkan perbarisan 2,000 warga angkatan tentera.
Affendi dalam ucapannya memberi jaminan akan berusaha menentukan sokongan sepenuhnya terhadap kepentingan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan negara menerusi pengurusan kuasa udara yang efektif dengan kerjasama seluruh pasukan.
“Apa yang diperlukan adalah semangat setiakawan dan kesepaduan bukan hanya di kalangan TUDM, malahan antara seluruh pasukan yang akan mencorak keharmonian usahasama kita sebagai satu ketumbukan angkatan,” katanya.
Senada dengan Raja Mohamed Affandi dalam isu kekangan kewangan terhadap tentera, Affendi menambah TUDM juga kini wajar melihat semula pelbagai tatacara pelaksanaan secara holistik dan merangka pendekatan baharu dalam melaksanakan tugas.
“Keadaan bukan tidak lagi seperti biasa bagi ATM dan TUDM… wajarlah untuk kita merangka pendekatan lebih kreatif dan berinovasi dalam menempuhi cabaran semasa,” katanya.
Ahmad Kamarulzaman pula dalam ucapannya berterima kasih kepada kerjasama TUDM dan ATM dalam pendekatan yang dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melindungi laluan maritim negara.
Katanya, kejituan antara TLDM, TUDM dan ATM membolehkan mereka bertindak dengan mantap dalam menghadapi pelbagai ancaman serta mampu berhadapan dengan cabaran yang dipengaruhi faktor persekitaran, ekonomi, politik dan sosial serantau.
“Saya juga menyeru agar Navy people (anggota TLDM) untuk terus berkhidmat dengan penuh kemuliaan, kesetiaan, keberanian dan kebanggaan kerana empat nilai murni ini akan meyakinkan negara dan rakyat,” katanya.
Sementara itu Zulkiple berkata kesatuan antara keselamatan darat, laut dan udara yang bertunjangkan kesetiaan, kepatuhan, semangat setia kawan dan sifat kepunyaan perlu dijadikan budaya untuk mengukuhkan perpaduan dalam ATM.