CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4501|Reply: 1

Odoi Odu ~ filem pendek terbaik Astro Kirana Short Film Awards 08/09

[Copy link]
Post time 28-2-2009 04:20 PM | Show all posts |Read mode
*sila tonton Odoi Odu secara online di sini >> ODOI ODU



28-Feb-2009 | Oleh: Ellyna Ali
Odui Odu Dinobat Filem Pendek Terbaik

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 28 Feb 2009:  Kisah kehidupan seorang nenek tua yang miskin dan hidup sebatang kara tetapi masih mampu merasai kewujudan roh suaminya, telah mengangkat Odoi Odu (Oh Grandma) sebagai pemenang utama  Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009, malam tadi.

Kejayaan itu sekaligus melayakkan produser, pengarah serta pelakonnya, Farizie Morinding dari Ranau, Sabah untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, trofi serta bajet menghasilkan filem cereka bernilai RM100,000 hasil tajaan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

Odoi Odu (Oh Grandma) yang dihasilkan menggunakan Bahasa Dusun, Sabah turut menerima kemenangan menerusi kategori Cerita Terbaik dan Lakonan Terbaik dalam majlis anugerah kali ke-2 yang dianjurkan Astro Kirana dengan kerjasama Tayangan Unggul serta stesen XFM di KL Convention Centre (KLCC).

Penerbit, pengarah serta pelakonnya, Farizie ketika ditemui murai.com.my berkata, ini adalah julung kali pertama dia menyertai sesebuah pertandingan anugerah filem pendek.

"Demi untuk menyertai pertandingan anugerah filem pendek ini, banyak cabaran serta dugaan yang terpaksa saya tempuhi. Antaranya saya tidak mampu melakukan kerja-kerja suntingan kerana ketiadaan kompuiter peribadi dan pertolongan yang saya harapkan daripada beberapa rakan pula berdepan dengan pelbagai kesulitan.

"Hampir saya berputus asa untuk meneruskan kerja seni saya. Tapi, saya cuba kumpulkan semula kekuatan dan akhirnya berkat daripada kesabaran, saya tetap berhasil untuk melakukannya," katanya pada sidang media sejurus selepas berakhirnya majlis itu.

Selaku pemenang tempat kedua menerusi filem pendek berjudul Mirror, Christopher Low pula berdepan dengan cabarannya sendiri dalam menghasilkan karyanya.

"Dalam drama ini saya cuba tampilkan cerita tentang tudung dan untuk melakukannya, ia memaksa saya untuk membuat tinjauan serta kajian di Terengganu. Dengan tempoh masa yang cukup terhad, saya cuba untuk menghasilkan Mirror. Ia bukanlah mudah kerana Mirror sebuah filem pendek dalam Bahasa Melayu sedangkan, sebagai pengarah, saya tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

"Bayangkanlah bagaimana sukarnya apabila saya terpaksa berkomunikasi dengan seorang makcik di Terengganu sewaktu penggambaran dilakukan," katanya yang membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 berserta trofi. Selain itu, Mirror turut memenangi anugerah Suntingan Terbaik.

Filem Aku juga diiktiraf panel juri

Bagi pemenang tempat ketiga yang berpihak kepada filem Aku, pengarahnya, Shuhaimi Zulkefli, pula berkata, idea untuk menghasilkan filem pendek tersebut sudah wujud ketika dia masih menuntut di sekolah agama di Kedah lagi.

"Waktu itu saya betul-betul berada di dalam dilema kerana saya cukup meminati bidang seni ini sedangkan guru agama di sekolah saya pula menasihati saya supaya meneruskan pengajian agama di Al-Azhar Mesir.

"Mereka juga meminta saya memilih di antara 'dunia' atau pun 'akhirat'. Saya tidak boleh menipu diri. Jiwa saya memang ke arah ini. Akhirnya saya ambil keputusan untuk menyertai Aswara dalam bidang pengajian filem. Dalam tempoh selama 6 bulan di sana, masih tidak begitu banyak yang saya ketahui.

"Akhirnya saya cuba hasilkan Aku dengan bajet yang cukup rendah," katanya yang menerima wang tunai RM2,000 berserta trofi menerusi kemenangan filem pendeknya itu. Selain itu, Aku turut memenangi anugerah Videografi Terbaik.

Hadiah telah disampaikan Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Encik Zainir Amirullah, bersama Pengarah Eksekutif Astro Shaw Sdn Bhd dan Tayangan Unggul, YM Tengku Dato' Anuar Mussaddad.

Kesemua pemenang Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009 itu telah dinilai 5 juri berkaliber iaitu pengarah Osman Ali, James Lee, Afdlin Shauki, Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai serta pengarang kanan universiti swasta, Wong Tuck Cheong.

Majlis itu dikendalikan oleh AC Mizal dan Sazzy Falak. Antara selebriti yang hadir adalah Rosyam Nor, Nasha Aziz, Jehan Miskin, Fazura, Hans Isaac, Tony Eusoff, Ning Baizura, Zizan Nin, Rozita Che Wan, Farid Kamil, Lisa Surihani, Rusdi Ramli, Dynas, Liyana Jasmay, Khabir Bhatia , Chelsea Ng serta Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Bagi anda di rumah, jangan lupa menyaksikan siaran tertunda acara berprestij itu hari ini, Sabtu, 28 Februari 2009, jam 9 malam menerusi Astro Kirana (Saluran 122). Siaran ulangan adalah pada 1 Mac ini jam 3 petang.

Keputusan Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009:

Pemenang Utama Filem Pendek Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma)

Tempat Kedua Filem Pendek Terbaik:  Mirror

Tempat Ketiga Filem Pendek Terbaik: Aku

Pengarahan Terbaik: Farizie Morinding/ Odoi Odu (Oh Grandma)

Cerita Terbaik: Farizie Morinding/Odoi Odu (Oh Grandma)

Suntingan Terbaik: Christopher Low/Mirror

Videografi Terbaik: Shuhaimi Zulkefli/Aku

Penataan Seni Terbaik: Tayanithi Ramanujem/Burp

Penataan Bunyi Terbaik: Sia Yaw Yie/Michelle

Lakonan Terbaik: Farizie Morinding /Odoi Odu (Oh Grandma)

Anugerah Pilihan Penonton: Permata Bonda
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-2-2009 04:21 PM | Show all posts

ajami katanyaaa..

Filem Slumdog Millionaire menang 8 anugerah di Oscar, filem Odoi Odu arahan Farizie Morinding pula membolot 4 anugerah utama iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Terbaik dan Lakonan Terbaik. Maka dengan itu benarlah tekaan berdasarkan penontonan secara peribadi saya untuk memilih Odoi Odu sebagai yang terbaik (fyi, dalam ulasan saya itu saya tulis >> filem ini seperti di-edit menggunakan Windows Movie Maker ajer! memang nampak murah! >> menurut Farizie MEMANG filem itu disunting dengan Windows Movie Maker pun! dan saya begitu kagum!) begitu juga dengan filem-filem Mirror arahan Christopher Low dan Aku arahan Shuhaimi Zulkefli dalam posting sebelum ini. Saya sempat berjenaka melalui sms dengan Gayatri Su-Lin apabila ia dinobatkan bahawa Odoi Odu ialah 'Slumdog Millionaire' untuk Astro Kirana Short Film Awards malam tadi. Semasa berbual santai dengan Afdlin, Gayatri, Julian dan Ira Fazir (TUSB) saya nyatakan pendapat peribadi saya tentang kenapa Odoi Odu memang selayak-layaknya untuk menang? Mudah sahaja iaitu saya akan pilih sebuah filem yang berjaya untuk 'bercerita' dalam durasi yang sangat singkat, ceritanya sampai dan mencetuskan sesuatu rasa kepada saya apabila habis menontonnya. Bagi pembikinan sesebuah filem pendek cabaran utamanya ialah untuk bercerita seperti ringkasan karangan. Ia kena segera, padat dan tidak perlu meleret-leret untuk establish-kan tentang what is it all about? Setiap saat dan frame filem mesti digunakan semaksima yang mungkin untuk menyampaikan cerita. Ia bukan pasal betapa hebatnya sudut teknikal kerana ia cuma aksesori atau kulit sesebuah filem pendek untuk membantu menyampaikan penceritaan sahaja. Kena ingat, ini sebuah pertandingan bukannya pesta lambakan filem-filem pendek seperti acara di MASKARA SHORTIES tahun lepas dimana ia cuma membentangkan 1001 jenis cerita yang tidak kisah tentang apa-apa yang perlu dinilaikan atau dipertandingkan. Jadi sebab itulah saya rasakan bahawa Odoi Odu ialah yang terbaik kerana ia berjaya menzahirkan sebuah kisah yang begitu kuat impaknya berbanding filem-filem pendek lain dari segi naratifnya. Secara peribadi, kalaulah Odoi Odu tidak ada dalam senarai calon sudah tentu saya akan memilih pula filem pendek lain sebagai yang terbaik iaitu samada Mirror atau Aku. Kamu boleh saksikan secara online atau di saluran Astro Kirana (jadual rancangan akan dikemaskini kemudian) ketiga-tiga filem pendek itu untuk memahami kenapa saya katakan bahawa filem mereka berjaya untuk bercerita dengan bagus. Pola pemilihan para juri profesional tahun ini mengisyaratkan kepada pembikin filem yang hendak menghantar penyertaan di tahun-tahun hadapan iaitu untuk menjuarainya ialah dengan membikin sebuah filem pendek melalui a story well told. Oklah, mungkin ada pendapat mengatakan bahawa sesebuah filem pendek yang terbaik mesti juga bercerita dengan isi, isu dan sudut teknikal yang hebat? Betul juga, saya tidak nafikan bak kata sultanmuzaffar bahawa Odoi Odu tidak berjaya memenangi apa-apa kategori teknikal membuktikan bahawa filem-filem lain adalah terbaik dari sudut itu tetapi belum menjamin untuk menjadi filem terbaik sebagai juara pertandingan.

NOTA: Jangan lupa tonton Astro Kirana Short Film Awards 08/09 - Awards Night malam ini di saluran Astro Kirana (ch 122) 9 malam! Ada persembahan selingan yang hebat-hebat oleh AC Mizal, Sazzy Falak, Aizat, Adam, Nikki, Bunkface, Apek+Along+Angah, Stacy, Misha Omar, Meet Uncle Hussain dan para penyampai yang glamour!.. dan hey! Apek boleh menyanyi secara live dengan baik, lebih bagus dari lakonannya dalam Sifu dan Tongga!  

ajamihashim.blogspot.com
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

5-1-2025 02:02 PM GMT+8 , Processed in 0.934210 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list