KOTA BHARU: Dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal, namun sepasang suami isteri di sini tidak pernah menjadikan kekurangan itu untuk alasan untuk mereka meminta belas ihsan daripada orang ramai.
Sebaliknya, Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 40, dan isterinya, Nurul Izzaifah Daud, 33, gigih berdikari dengan melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup bersama dua anak yang berusia enam bulan dan 8 tahun yang dilahirkan normal.
Muhammad Hafidz berkata, sembilan tahun lalu, dia bekerja dengan sebuah syarikat grafik di Kota Bharu, tetapi pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2019, menyebabkan dia diberhentikan kerja apabila tempat kerjanya terpaksa ditutup dan sejak itu mula melakukan pelbagai kerja termasuk bercucuk tanam menyara keluarga.
"Walaupun sudah tidak lagi bekerja di syarikat itu, namun saya tetap menggunakan kemahiran yang ada dalam bidang grafik ini untuk terus mencari pendapatan dengan menerima tempahan daripada individu yang memerlukan khidmat, namun pendapatan bulanan yang diperoleh tidak menentu bergantung tempahan diterima.
"Kecacatan yang dialami bukan alasan untuk saya terus mengharapkan simpati kerana kekurangan yang ada ini menjadikan saya lebih cekal untuk terus berusaha selagi terdaya," katanya ketika di rumahnya di kebun Rimba Organik Komuniti (ROK) dekat Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian, di sini.
Muhammad Hafidz berkata, pada masa sama, isterinya turut mengambil upah membuat kuih muih dan tempahan makanan untuk majlis sekiranya mendapat permintaan daripada penduduk sekitar untuk membantu menambah sumber pendapatan mereka sekeluarga.
"Saya dan isteri masing-masing memperoleh Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung.
"Walau bagaimanapun, kami tidak mahu mengharapkan wang bantuan sahaja, tetapi ingin berusaha sendiri dan tidak mahu kecacatan yang dialami sejak lahir ini menjadi batu penghalang untuk hidup berdikari meskipun terpaksa bersusah payah demi mencari sesuap nasi.
"Selain itu, saya juga tidak mahu kekurangan fizikal ini menjadi alasan untuk saya tidak bekerja walaupun ada masanya terpaksa menahan sakit di bahagian pinggang kerana perlu berjalan dalam keadaan membongkok sepanjang masa," katanya.
Bapa kepada dua anak ini berkata, sejak kecil dia diajar berdikari dalam melakukan pekerjaan seperti insan normal lain.
"Sebenarnya saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan dengan melakukan pelbagai kerja ia dianggap sebagai satu terapi untuk saya terus kekal cergas dan sihat.
"Dalam masa sama, saya juga sentiasa positif dengan masa depan biarpun dilahirkan serba kekurangan. Saya berusaha untuk hidup dan selebihnya saya serahkan kepada Allah SWT untuk menentukannya," katanya.