Oleh Siti Rohana Idris - Januari 22, 2022 @ 8:26pm[email protected]
Lori muatan simen menghempap sebuah kereta Perodua Kelisa yang menyebabkan seorang wanita maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, petang tadi. NSTP/IHSAN POLIS
KOTA BHARU: Wanita maut tersepit dalam kereta selepas kenderaannya dihempap sebuah lori simen yang dipercayai mengalami kerosakan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang, di sini, petang tadi.
Dalam nahas kira-kira jam 4.10 petang itu, mangsa, Roslina Anat Lat, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata lori Nissan yang membawa muatan simen itu dipandu dari arah Pengkalan Chepa menghala ke Jalan Sri Cemerlang.
Katanya, setiba di lokasi, pemandunya menyedari brek lori gagal berfungsi dan mengambil keputusan membelok ke kiri untuk mengelak terlanggar kenderaan di hadapan.
"Ketika membelok, kenderaan berat itu tiba-tiba terbalik lalu menghempap kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa yang berhenti di lampu isyarat laluan bertentangan.
"Akibat kemalangan, mangsa yang tersepit di dalam keretanya meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Suhaimi berkata, mangsa yang cedera pada dada dan kaki dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
Katanya, kemalangan turut membabitkan sebuah lagi kereta iaitu Honda Civic namun pemandunya tidak cedera.
"Kemalangan disyaki berpunca daripada kecuaian pemandu lori dalam memastikan kenderaannya selamat dikendalikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.12 petang sebelum 15 anggota dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, kami dapati sebuah lori menghempap sebuah kereta dan muatan simen yang dibawa kenderaan berat itu tumpah dan memenuhi kereta yang dipandu seorang wanita.
"Operasi sedikit sukar kerana keadaan bumbung kereta yang kemek dan mangsa tersepit, ditambah dengan muatan simen yang turut tumpah atas mangsa.
"Kami menggunakan pemotong hidraulik serta beg udara untuk mengeluarkan mangsa dan masa diambil untuk operasi itu adalah setengah jam dengan bantuan kren," katanya.