View: 838|Reply: 0
|
[Kelantan]
Tikar mengkuang, tempok daun salak kraf tangan Orang Asli
[Copy link]
|
|
Rosnah Pedik menunjukkan kemahirannya menganyam tikar mengkuang. Dinding rumahnya daripada anyaman kulit kayu bertam. - Foto NSTP/ Siti Rohana Idris
GUA MUSANG: Kelincahan jemarinya menganyam daun mengkuang dan daun salak untuk dihasilkan tikar serta tempok (aksesori dipakai di kepala) cukup mengagumkan. Malah, seluruh dinding rumahnya juga dilitupi anyaman kulit pokok bertam
Kemahiran dimiliki wanita Orang Asli dari Kampung Podek, di sini, Rosnah Pedik, 58, sejak di usia remaja lagi.
Rosnah berkata, walaupun majoriti masyarakat Orang Asli di kampung itu sudah tinggal di rumah batu, tetapi masih ramai mengekalkan struktur binaan tradisional sama ada daripada buluh atau kulit pokok bertam.
"Dua bahan ini mampu menyerap haba dan menjadikan suasana dalam rumah dingin serta selesa menyebabkan saya memilih menganyam kulit pokok bertam untuk dijadikan dinding.
"Memandangkan saya sudah mahir dalam kerja anyaman, ia hanya mengambil masa sekitar dua minggu sebelum menjadi beberapa kepingan dan diikat menjadi dinding," katanya ketika ditemui di sini.
Rosnah Pedik dan Damak Angah menunjukkan aksesori dipakai di kepala, iaitu tempok daripada anyaman daun salak. - Foto NSTP/ Siti Rohana Idris
Presiden MCC, Nik Faiz Nik Amin (kanan) menunjukkan Anugerah Kreatif diterima Rosnah Pedik sempena program Kelantan Exchange 2021 anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) baru-baru ini. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Ibu kepada 12 cahaya mata itu berkata, kepandaian dimilikinya itu bagaimanapun tidak menarik minat anaknya untuk mempelajari kecuali anak kelimanya, Jiros Damak, 35, yang sedikit sebanyak membantunya menghasilkan barangan anyaman jika menerima tempahan.
Katanya, untuk tikar mengkuang, dia mengambil masa sehingga 10 hari untuk menyiapkannya. Ini disebabkan proses penyediaan yang memakan masa disebabkan perlu direndam dengan pewarna sebelum dijemur kering, anyaman juga lazimnya dilakukan pada waktu pagi atau malam.
"Ia disebabkan pada waktu itu, daun mengkuang lebih lembut dan mudah dianyam berbanding waktu lain. Selain tikar, saya juga menghasilkan beg tangan.
"Bagaimanapun untuk penghasilan tempok daripada daun salak pula, masa diperlukan tidak lama, iaitu sehari sahaja," katanya.
Rosnah yang menerima Anugerah Kreatif sempena program Kelantan Exchange 2021 anjuran Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) baru-baru ini berkata, dia sering membawa hasil anyamannya itu di mana-mana ekspo atau program.
Tidak hanya di Kelantan, kraf tangan hasilnya itu turut menjengah ke beberapa negeri lain jika menerima tempahan daripada pihak yang ingin mendapatkan produk masyarakat Orang Asli.
"Biasanya saya akan menjual tikar mengkuang ini antara RM40 hingga RM80 bergantung kepada corak, manakala tempok pula dijual pada harga RM30 sahaja," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|