|
Petani meninjau keadaan tali air di bendang Gong Datuk, Pasir Puteh yang kering susulan musim kemarau. - Foto BERNAMA
PASIR PUTEH: Lebih 150 petani di lima buah kampung di sekitar jajahan ini berhadapan kerugian modal pusingan lebih RM500,000, apabila tanaman padi mereka terjejas kerana sawah kekeringan air akibat kemarau sejak sebulan lalu.
Timbalan Ketua Kelompok, Wan Muhammad Kozani Wan Yusuff, 59, berkata mereka merayu kepada pihak berwajib supaya menempatkan pam air di kawasan strategik, bagi membantu mengatasi masalah itu yang menimpa kawasan sawah membabitkan keluasan 200 hektar, di Kampung Gaal, Wakaf Bunut, Gong Datuk, Kok Jering dan Gong Kedakding.
"Tanaman padi kami sekarang sangat memerlukan air bagi proses mengeluarkan buah dan bagi kerja menabur baja, tetapi sejak sebulan lepas tiada hujan, menyebabkan tanahnya merekah," katanya kepada media di Bendang Gong Datuk, di sini hari ini.
Beliau berkata masalah itu berlaku disebabkan kawasan bendang di lokasi terlibat cuma bergantung kepada air hujan, selepas parit jejari yang dibina pihak berwajib tidak berfungsi sejak beberapa tahun lalu.
Seorang pesawah Ab Rahim Ab Rahman, 62, berkata ini adalah kali pertama beliau menghadapi masalah seumpama itu.
"Kebiasaannya pada bulan Januari sehingga Mac hujan masih turun dan mencukupi bagi keperluan sawah.
"Saya pernah memperoleh hasil sebanyak RM50,000 setiap musim, tetapi tahun ini nasib kami masih terumbang-ambing," katanya yang mengusahakan sawah seluas 37 hektar.
Seorang petani dari Kampung Kedakding, Zawawi Mamat, 68, berkata pam air boleh diletakkan di sebatang sungai, kira-kira 400 meter dari kawasan bendang yang terjejas. – BERNAMA
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|