|
FATIMAH (kiri) mengemudi bot pelancong di Tasik Kenyir dengan ditemani Embat.
Kuala Berang: Ketika rakan seusia menghabiskan masa berehat dan melakukan kerja rumah namun lain bagi dua nenek berusia 70 dan 73 tahun ini yang gigih mencari rezeki dengan mengendalikan bot laju di Tasik Kenyir.
Menurut T Embat T Ngah, 70, dari Kampung Tengkawang di sini, dia mula mengendalikan bot pelancong sejak 25 tahun lalu selepas kematian suami, Abdul Rahman Putih.
Katanya, sebelum itu, arwah suaminya yang mengendalikan bot pelancong di Tasik Kenyir.
Namun, selepas ketiadaan suami, dia mengambil alih tugas berkenaan bagi membesarkan enam anaknya yang kini berusia 28 hingga 40 tahun.
"Pada mulanya memang sukar untuk mengendalikan bot kerana ketika itu, saya tiada pengalaman ditambah pula adalah wanita. Kerja berkenaan ketika itu diibaratkan bidang terjun.
"Dulu, hendak hidupkan enjin bot 40 kuasa kuda pun sukar. Saya perlu menarik tali pada enjin sekuat hati. Dengan kudrat seorang wanita, ia amat sukar namun saya tidak patah semangat malah terus mendalami kemahiran mengendalikan bot berkenaan.
"Walaupun kini sudah menjangkau usia emas namun Alhamdulillah, saya masih mampu mengendalikan bot pelancong berenjin 115 kuasa kuda," katanya yang mesra dipanggil Mok Ku dalam kalangan pengendali bot pelancong di lokasi berkenaan.
Menurut Embat, dia kini memiliki dua bot laju yang mana sebuah lagi dikendalikan anaknya, Indra Irwana, 40.
"Selagi kudrat masih kuat, saya akan terus mengendalikan bot pelancong di tasik ini," katanya.
Menurut Embat, pelbagai kenangan suka duka ditempuhi sepanjang bergelar pengendali bot pelancong termasuk dua unit enjin botnya pernah mengalami kerosakan akibat perbuatan khianat menyebabkannya kerugian kira-kira RM70,000.
Rakannya, Fatimah Mamat, 73, dari Kampung Tengkawang dekat sini berkata, dia mengendalikan bot pelancong sejak 30 tahun lalu dan kini mempunyai enam bot laju.
"Mungkin bagi yang tidak mengenali saya dan Embat, mereka akan terkejut mendapati bot pelancong ini dikendalikan seorang nenek.
"Namun, sebahagian besar yang menggunakan khidmat kami, sebaik kembali bercuti di tasik ini, inginkan khidmat kami lagi untuk membawa mereka ke lokasi diinginkan," katanya.
Menurut Fatima, cucunya, Nurul Nabila Ahmad Farid, 21, mengikut jejak langkahnya dengan mengendalikan bot pelancong di tasik berkenaan selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).
Kata Fatimah, sejak dahulu, hanya dia dan Embat yang mengendalikan bot berkenaan dalam bidang didominasi lelaki.
Fatimah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 adalah ujian paling berat terpaksa dilalui dan dia bersyukur kerana industri pelancongan di Tasik Kenyir kini kembali bernafas.
Sementara itu, Nurul Nabila yang berkeluasan Diploma Pengurusan Perniagaan UiTM Kampus Dungun, Terengganu berkata, dia mula didedahkan dengan dunia bot pelancong sejak berusia lapan tahun.
"Saya teruja melihat nenek (Fatimah) mengendalikan bot laju dan pada usia 17 tahun, saya mula belajar mengendalikan bot berkenaan.
"Jarak perjalanan ke destinasi diingini pelancong biasanya antara 45 minit hingga dua jam. Ia termasuk ke lokasi seperti Gua Bewah, Gua Taat dan Taman Rama-Ram," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -power-tasik-kenyir |
|