|
BACHOK: Stok ayam terpaksa dicatu.
Itu situasi dialami peniaga ayam di sekitar Kelantan apabila mereka hanya memperoleh bekalan antara 20 hingga 70 ekor seorang sehari.
Tinjauan di Pasar Besar Siti Aishah, Jelawat di sini, mendapati ada peniaga yang kehabisan ayam seawal jam 9 pagi kerana tidak mendapat bekalan mencukupi.
Selain itu, peniaga ayam di tepi jalan di daerah ini juga terpaksa menutup premis seawal jam 9 pagi selepas bekalan ayam habis.
Peniaga, Mariam Awang Senik, 62, berkata, sejak seminggu ini, stok ayam terpaksa dicatu apabila kebanyakan peniaga memperoleh bekalan yang sedikit.
Dia yang menjual ayam sejak lebih 30 tahun lalu berkata, jika sebelum ini, dia akan memperoleh bekalan ayam antara 70 hingga 100 ekor sehari, sejak seminggu ini hanya mendapat antara 20 hingga 40 ekor.
"Selain bekalan yang tidak cukup, harga juga naik. Untuk minggu ini sahaja, sudah empat kali harga naik dan sekali naik 20 sen sekilogram. Harga yang saya dapat daripada pemborong adalah RM8.90 sekilogram.
"Namun, sebagai peniaga saya tidak sampai hati hendak menaikkan harga dan masih menjual dengan harga yang berpatutan asalkan bekalan ayam setiap hari habis," katanya yang mendapat bekalan daripada pemborong.
Peniaga, Adam Azman, 30, mengakui ayam sejak akhir-akhir ini dicatu apabila hanya mendapat bekalan bawah 100 ekor sehari.
Katanya, jika sebelum ini, dia akan mendapat bekalan daripada pemborong di Kota Bharu lebih 250 ekor sehari, namun sejak seminggu ini bekalan makin berkurangan.
"Saya difahamkan pemborong mendapat bekalan ayam dari Perak dan mungkin masalah daripada sana menyebabkan ayam tidak cukup. Saya tidak tahu bekalan ada atau tidak esok dan berharap ada kerana permintaan tinggi daripada peniaga kedai makan dan asrama sekolah.
"Jika stok ayam tiada, ia akan menjejaskan pendapatan saya dan peniaga kedai makan yang lain. Saya minta kerajaan campur tangan bagi memastikan bekalan ayam tidak putus dan mencukupi," katanya.
Mariam Awang Senik, 62, mengakui stok ayam terpaksa dicatu sejak seminggu lalu apabila kebanyakan peniaga memperoleh bekalan yang sedikit. - NSTP/Hidayatidayu Razali
https://www.bharian.com.my/berit ... lantan-catu-bekalan |
|