|
menjual ayam `pencen' tetapi sambutan kurang berbanding ayam segar di Pasar Pagi Jaya Gading, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Kuantan: Ketiadaan bekalan ayam buat sahaja meresahkan orang ramai, malah peniaga yang meminta tindakan segera dilakukan kerajaan bagi menangani masalah itu.
Ini kerana ketiadaan atau kekurangan bekalan ayam menyebabkan peniaga terjejas sumber pendapatan, dan pengguna bimbang harga ayam akan meningkat.
Peniaga ayam, Muhammad Amirul Assifa Zam, 23, berkata, kebiasaannya, dia menempah antara 200 hingga 300 ekor untuk dijual setiap hari di gerainya.
Bagaimanapun katanya, sejak dua minggu lalu bekalan ayam semakin berkurangan, dan ada ketikanya dia tidak mendapat bekalan.
"Sebagai contoh, hari ini, saya tidak mendapat bekalan ayam seperti yang ditempah berbanding semalam, hanya 20 ekor ayam diterima.
"Sebagai peniaga, saya meminta masalah kekurangan bekalan yang berlaku ini diharap dapat diselesaikan segera.
"Biarpun turut menjual ikan dan daging tetapi permintaan ayam, tinggi dan menjadi sumber pendapatan saya
"Saya turut menjual ayam 'pencen' tetapi permintaannya kurang berbanding ayam segar yang sememangnya ada setiap hari," katanya ketika ditemui, hari ini.
Tinjauan mendapati disebabkan ketiadaan bekalan ayam, peniaga menambah bekalan ayam `pencen' tetapi sambutannya kurang.
Ini kerana orang ramai lebih kepada ayam segar kerana kebiasaan permintaan ayam `pencen' tinggi ketika musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Bagi suri rumah, Khalmisah Awaluddin, 66, disebabkan ketiadaan ayam segar, dia memilih ayam `pencen' buat seketika.
"Saya harap masalah ketiadaan ayam segar ini dapat berakhir dalam tempoh terdekat," katanya.
Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar raya di sini mendapati tiada ayam segar yang dijual disebabkan ketiadaan bekalan.
Difahamkan, bekalan ayam hanya dapat dijual pada waktu petang tetapi dalam kuantiti yang sedikit berbanding kebiasaan.
Rata-rata pelanggan akan menunggu pada waktu petang untuk mendapatkan ayam biarpun terpaksa beratur panjang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sar-pagi-pasar-raya |
|