|
Sebahagian gerai ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu ditutup semalam kerana kehabisan stok. - NSTP/ZAID SALIM
KUALA TERENGGANU: Ketiadaan bekalan ayam menyebabkan ada pengguna sanggup membayar harga tinggi bagi mendapatkan makanan itu.
Rata-rata peniaga mendakwa penawaran harga oleh pengguna, terutama pengusaha kedai makan sehingga mencecah RM15 sekilogram adalah disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan itu sejak beberapa hari lalu, menyebabkan orang ramai tiada pilihan selain membeli ayam pencen menggantikan ayam segar.
Tinjauan di Pasar Chabang Tiga, di sini pagi ini, mendapati sebahagian gerai menjual ayam ditutup berikutan kehabisan stok.
Peniaga, Zul Fakrul Amin Abdul Manan, 35, berkata kesukaran mendapatkan bekalan ayam segar menyebabkan pengguna sanggup membayar harga tinggi.
"Masalah kami peniaga pula bukan pasal untung, tetapi memikirkan bagaimana keadaan esok pula. Hari ini pun banyak gerai tutup kerana tidak ada bekalan. Stok yang ada pun untuk tempahan dibuat pengusaha kedai makan dan restoran. Itu pun saya terpaksa membahagikan supaya semua dapat walaupun sedikit.
"Bekalan daripada pembekal pula hanya dihantar separuh daripada tempahan, saya tidak tahu bagaimana kalau esok masih tidak ada bekalan," katanya.
Suri rumah dari Kampung Pulau Musang, Hasmah Yusuf, 36, berkata kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah berkenaan kerana ayam adalah sumber makanan utama rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak.
"Tiga anak saya sangat menggemari masakan berasaskan ayam, jadi bila tiada bekalan, susah saya untuk menyediakan makanan buat anak. Mereka bukannya faham masalah dan ayam 'pencen' pula, rata-rata kanak-kanak tidak suka kerana isinya yang keras.
"Saya sanggup bayar harga tinggi, janji boleh dapat ayam, tetapi peniaga tetap tidak mahu jual kerana stok ayam yang ada semuanya untuk tempahan," katanya.
Seorang lagi pengguna, Ahmad Imran Khalid, 40, berpendapat kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha ladang yang menghentikan operasi kilang kerana ia menyusahkan seluruh Keluarga Malaysia.
"Saya rela harga ayam tinggi daripada tiada bekalan seperti sekarang ini. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna, tetapi peniaga juga yang terpaksa menutup perniagaan kerana tiada bekalan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... al-janji-dapat-ayam |
|