|
KUALA BERANG: Seorang wanita sanggup menerima cinta penagih dadah, demi membantu lelaki berkenaan bebas daripada ketagihan.
Kakitangan awam yang hanya mahu dikenali sebagai Ros, 45, berkata pada mulanya beliau agak was-was menerima lamaran suami.
Katanya, beliau memberanikan diri kerana seorang adiknya juga penagih, dan perkahwinan dengan bekas penagih sejak lima tahun lalu dikurniakan dua cahaya mata.
"Alhamdulillah, suami benar-benar sudah insaf dan dalam tempoh lima tahun perkahwinan ini, dia banyak menghabiskan masa bertugas di Baitul Cakna, sebagai pembantu di sini.
"Saya berharap keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang terbabit dalam penyalah gunaan dadah supaya merujuk ahli keluarga mereka ke tempat yang sesuai bagi menjalani proses rawatan dan pemulihan.
"Penagih dadah ini susah nak dipulihkan, namun dengan semangat dan dorongan serta kasih sayang mampu mencorakkan hidup baru buat mereka," katanya selepas Majlis Hari Raya Yayasan Aids Malaysia, di Kampung Peladan, di sini, hari ini.
Suami kepada Ros, yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 44, berkata, dia terjebak dalam penyalahgunaan dadah sejak berusia 18 tahun dan akibat terlalu banyak mengambil dadah, dia pernah menghidap penyakit Hepatitis C dan TB tulang belakang.
"Campuran heroin dan pil kuda dicucuk ke urat paha tapi lama-kelamaan dapat penyakit itu dan angin ahmar.
"Selepas dua tahun tinggal dan mendapat rawatan di Baitul Cakna, sakit yang saya hadapi sudah pulih dan saya bertekad untuk meninggalkan najis dadah buat selama-lamanya," katanya.
Ahmad berkata, beliau bersyukur kerana isterinya banyak memberi sokongan dan beliau memilih untuk tidak pulang ke negeri kelahirannya, bagi mengelak perbuatan lama berulang.
Beliau berkata, seseorang yang mempunyai masalah jangan sesekali mengambil dadah kerana mengambil dadah akan mendatangkan masalah yang lebih besar.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti Cakna Terengganu yang juga Pengurus Baitul Cakna, Amran Ismail berkata, seramai 57 penghuni berada di tiga rumah Baitul Cakna.
"Selain rumah Baitul Cakna di Kampung Pelandan ini, terdapat dua lagi rumah di Ajil dan Jambu Bongkok, Marang.
"Pelbagai pengisian diberikan kepada penghuni di tiga rumah ini dalam membantu mereka untuk keluar daripada penyalahgunaan dadah dan setiap bulan kita membelanjakan RM12,000 bagi menguruskan rumah ini," katanya.
Ahmad dan Ros pada Majlis Hari Raya Yayasan Aids Malaysia, di Kampung Pelandan, hari ini. - Foto NSTP/Nazdy Harun
https://www.bharian.com.my/berit ... cakna-bantu-penagih |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|