|
MUHAMMAD Azri Abdul Jalil (kanan) melawat keluarga Muhammad Al Idrus Mohd. Dasuki yang menghidap pelbagai jenis penyamit termasuk lelangit sumbing di Kampung Star, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG: Seorang mekanik bergelut mencari rezeki untuk menyara keluarga bagi membiayai kos perubatan anak lelakinya yang menghidap pelbagai penyakit seperti lelangit sumbing, jantung dan buah pinggang.
Mohd. Dasuki Mohd. Nor, 44, berkata, upah mengecat dan membaiki kenderaan yang tidak menentu antara RM800 hingga RM1200 sebulan perlu dicatu sebaik mungkin bagi membeli keperluan susu, lampin pakai buang dan kos berulang-alik ke hospital anak bongsunya, Muhammad Al Idrus, 3, yang sakit sejak dilahirkan.
Katanya, selepas disahkan menghidap penyakit itu, anaknya tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusianya.
“Anak saya memang tak normal apabila tidak dapat bercakap, merangkak, berjalan atau berlari. Dia hanya boleh meniarap dan baring.
“Saya dan isteri tidak pernah mendengar anak bongsu daripada empat beradik itu memanggil kami dengan panggilan abah atau mama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Star di sini, semalam.
Menurutnya, dia bersyukur apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan bagi membeli keperluan anaknya itu.
Isterinya, Wan Azizah Wan Yusoff, 40, pula berkata, masalah kesihatan Muhammad Al Idrus dikesan selepas dua hari dilahirkan.
Katanya, anaknya hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan tujuh kali sehari melalui wayar atau tiub pada hidungnya.
“Selepas dilahirkan anak mengalami demam kuning dan kami diminta membuat pemeriksaan di Hospital Gua Musang sebelum dikesan menghidap pelbagai penyakit.
“Sehingga kini dia masih menerima rawatan susulan di Hospital Gua Musang dan Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai. Pada awalnya sukar untuk saya menerima keadaan ini, tetapi lama-kelamaan kami reda dan menjaga Muhammad Al Idrus dengan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu, Wan Azizah menerima sumbangan susu, lampin pakai buang dan barangan makanan daripada Pengurus Projek Sektor Kemiskinan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Muhammad Azri Abdul Jalil.
Muhammad Azri berkata, bagi meringankan beban keluarga berkenaan, pihaknya dengan kerjasama daripada Persatuan Jantung Kesihatan Malaysia (MyHeart ) bersetuju memberi bantuan susu khas dan lampin pakai buang.
Selain itu, katanya, bantuan kotak makanan asas daripada MyFundAction diberikan selama enam bulan.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Mohd. Dasuki bernombor, 03063020395528 atau hubunginya di talian 010-9536870. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... kos-perubatan-anak/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|