GEORGETOWN: DAP Pulau Pinang memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan bayaran RM1.4 juta dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown pada 2019.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, berkata beliau selaku peguam mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan di pejabat SPRM negeri berhubung isu itu, semalam.
"Aduan itu dibuat Syerleena bagi menuntut siasatan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
"Kes itu boleh juga disiasat mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana wang berkenaan tidak diisytiharkan mengikut Akta Cukai Pendapatan," katanya pada sidang media di Wisma DAP di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Rayer berkata, pihaknya diberi notis SPRM untuk tidak mendedahkan butiran lanjut laporan yang dibuat semalam sehingga siasatan kes berkenaan disempurnakan.
"Kita tidak membuat sebarang tohmahan atau tuduhan tetapi menuntut perkara ini disiasat SPRM.
"Selain itu, kerana kes masih dalam siasatan tidak banyak yang boleh didedahkan, tetapi tujuan kami adalah untuk memberitahu orang ramai bahawa laporan dibuat berkenaan perkara itu," katanya.
Sementara itu, Syerleena berkata, beliau dan Rayer hadir di pejabat SPRM selama kira-kira tiga jam bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dan turut mengemukakan bukti dalam bentuk dokumen.