|
Pelari Belanda, terlepas emas acara 4x400m di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary selepas terjatuh sebelum garisan penamat. - Foto REUTERS
BUDAPAEST: Belanda dua kali terlepas emas di Kejohanan Olahraga Dunia apabila dua bintang mereka tersungkur sebelum garisan penamat.
Dua prospek emas Belanda, yang diharapkan mampu menghadiahkan kemenangan pada hari pembukaan kejohanan di Budapest semalam, gagal menamatkan larian dengan cemerlang.
Juara Olimpik, Sifan Hassan dan Femke Bol begitu hampir untuk meraih emas dalam perlumbaan masing-masing, tetapi kedua-duanya berakhir dengan kekecewaan.
Hassan, yang beraksi dalam acara final 10,000 meter, hanya tinggal 25m untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama, tetapi terjatuh selepas terlanggar pelari Habsyah, Gudaf Tsefay yang memenangi perlumbaan berkenaan.
Selepas perlumbaan Hassan mendakwa Tsefay menolaknya.
"Saya ditolak. Dia berlari di bahagian luar dan saya dihalang. Tetapi apa boleh buat, dalam sukan ia boleh berlaku.
"Saya rasa ditolak, saya sedang laju ketika itu dan tidak dapat mengawal larian. Tidak mengapa, ada dua perlumbaan lagi, kita lihat apa berlaku nanti," kata Hassan.
Kurang setengah jam kemudian, nasib yang sama menimpa Bol. Dalam acara 4x400m, Bol sebagai pelari terakhir begitu hampir untuk menghadiahkan emas tetapi terjatuh sendiri sebelum bangkit menamatkan larian.
Walaupun melintas garisan penamat di tempat ketiga, lariannya dibatalkan kerana baton sudah terjatuh. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... landa-kempunan-emas |
|