Edited by sfhzuraz at 13-1-2025 06:48 PM
Ibu sujud syukur, anak, dua rakan hilang ketika merawai ditemui selamat
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
13 Januari 2025 05:53pm
Barisah (kanan) dan suaminya, Sufian Zakaria bersyukur anaknya ditemui selamat di Indonesia.
SUNGAI PETANI - Ibu kepada nelayan, Mohamad Al-Amin Sufian, 29, melakukan sujud syukur selepas mengetahui anaknya dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu selepas keluar melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan rawai (merawai) ditemui selamat dan berada di Indonesia pada Isnin.
Barisah Ahmad, 59, mengakui rasa lega selepas mendapat maklumat tersebut daripada Maritim Malaysia pada jam 2 petang.
Menurutnya, dia sekeluarga memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutamanya agensi penyelamat yang bekerja keras sejak tiga hari lalu.
"Selepas solat Zohor, saya berdoa mohon keselamatan anak, jam 2 petang tadi dapat panggilan daripada Maritim Malaysia memaklumkan kesemua mereka sudah ditemui.
"Saya membuat sujud syukur selepas mendapat tahu Al-Amin dan dua lagi nelayan bersama selamat dan kini berada di Indonesia," katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Semarak pada Isnin.
Menurut Barisah lagi, walaupun belum bercakap dengan Al-Amin namun berita yang diterima sedikit-sebanyak dapat mengurangkan rasa kerisauannya sebelum ini.
"Kalau boleh saya mahu pergi menyambut kepulangannya namun perlu menunggu maklumat seterusnya dari pihak berkuasa," ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga nelayan yang dikhuatiri hilang sejak Jumaat lalu dimaklumkan telah ditemui selamat dan berada di Indonesia.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat dari waris mangsa bahawa mereka telah dihubungi oleh mangsa.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka kini berada di Indonesia.
https://www.sinarharian.com.my/article/706944/edisi/utara/ibu-sujud-syukur-anak-dua-rakan-hilang-ketika-merawai-ditemui-selamat
|