Suspek kes simbah cat (baju hitam) di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini. - Foto NSTP/Alias Rani.
BATU PAHAT: Lelaki yang menjadi orang suruhan along direman tiga hari bagi membantu siasatan selepas disyaki membaling cat merah ke atas dua rumah di Taman Puteri Jaya, di sini, bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun yang juga penganggur dikeluarkan oleh Majistret Arun Noval Dass bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan, suspek yang juga bapa kepada dua anak dipercayai diarahkan oleh along supaya melakukan perbuatan itu ke atas rumah disasarkan.
Suspek bertindak demikian kerana didakwa gagal melunaskan pinjaman wang dengan along. Dia dibayar RM400 untuk setiap rumah disimbah dengan cat merah.
Pemeriksaan polis terhadap suspek mendapati, lelaki itu mempunyai sembilan kes di seluruh negeri ini. Antaranya empat di Pontian, Batu Pahat dan Johor Bahru Utara masing-masing dua kes, manakala satu di Iskandar Puteri.
Sementara itu, mahkamah sama, seorang tukang masak dipenjara 15 bulan selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah ke arah rumah milik wanita berusia 28 tahun di Yong Peng, bulan lalu.
Ang Chun Heng, 40, yang sedang dihukum penjara atas kesalahan sama diperintah oleh mahkamah menjalani hukuman itu berkuat kuasa pada hari sabitan, hari ini.
Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengadu selepas mendapati rumah mereka disimbat cat merah oleh individu tidak dikenali.
Siasatan polis membawa penahanan tertuduh dan pada masa sama, turut menemui tin cat dan nota ugutan yang ditampal di rumah mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).