|
Sebagai kaki jalan mesti anda pernah ternampak atau tahu mengenai pulau yang sangat cantik dan privasi di Malaysia. Maksud privasi di sini ialah hanya ada beberapa resort sahaja maka kebersihannya sangat terjaga. Disebabkan itu, ia terhindar dari kerosakan tangan-tangan manusia.
Ada yang mengatakan ia sangat mahal kerana faktor-faktor di atas namun apa lah sangat harga jika pulau yang diperkatakan itu sangat berbaloi untuk dikunjungi. Dengar cerita lagi, orang Malaysia sendiri pun tak ramai ke sana.
Pulau apa yang hebat sangat itu?
Tak lain tak bukan iaitu Pulau Rawa di Mersing di Johor. Netizen ini berkongsi info penting kepada anda yang berhajat untuk menikmati keindahan yang sebenarnya di penjuru semenanjung Malaysia.
Jom kita semak tip untuk ke sana
1) 2 lokasi berbeza
Perlu tahu Pulau Rawa ada dua iaitu di Terengganu dan satu lagi di Johor. Pemilik Pulau Rawa adalah Sultan Johor sendiri.
Ada burung merak liar
2) Kemudahan jeti
Di Mersing ada dua Jeti utama iaitu Jeti Mersing untuk ke Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Besar dan pulau yang berhampiran. Manakala Jeti Tanjung Leman pula ke Pulau Sibu dan Pulau Tinggi sahaja. Masa perjalanan lebih kurang 30 minit perjalanan.
3) Parkir kereta
Kalau yang melalui kereta boleh parkir kereta berhampiran di Jeti Mersing. Caj parkir mengikut zon A, B dan C. Kalau nak parkir berpagar zon A dan B, Zon A berharga RM45 untuk dua malam, Zon B RM36 untuk dua malam dan Zon C RM30 untuk dua malam.
Gelungsur yang syok!
4) Tempah awal
Memandangkan Pulau Rawa pulau persendirian, jadi perlu tempah awal kerana ia cepat penuh.
5) Caj masuk
Ia dikenakan oleh Jabatan Taman Laut Malaysia berjumlah RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM50 untuk bukan warganegara.
6) Masa bot laju
Ada dua masa yang menghala ke AlangsRawa Resort iaitu jam 12 tengah hari dan 4 petang. Manakala dari Pulau Rawa pula pukul 11pagi dan 3 petang.
7) Bulan paling ideal
Antara Mac hingga September sahaja. Ini kerana bulan lain adalah musim monsun timur laut dan Resort ditutup sementara.
8) Cuma 2 resort
Memang ada dua resort sahaja iaitu Rawa Island Resort dan Alang Rawa. Kalau yang berkeluarga seeloknya pilih Rawa Island Resort, manakala ‘backpackers’ pula boleh tinggal di Alang Rawa.
9) Pelbagai jenis bilik
Ada Beachfront House, Jungle Side, Coconut Tree, Little A-Frames dan Coconut Tree Group. Kami menginap di Beachfront, buka pintu saja terus nampak laut jernih membiru. Harga pakej kami RM8xx per pax untuk 3 hari 2 malam termasuk kemudahan, bot,2x makan pagi,2x makan tengahari ,2x makan malam dan kemudahan sukan air.
10) Layanan first class
Seronok sangat, malahan staf sangat membantu dan ramah. Makanan pun sangat sedap. Berbaloi dengan harga yang dibayar.
11) Beli pakej siap
Tiada ‘walk in’, jadi perlu beli pakej siap. Kalau tak nak ‘island hoping’ pun tiada masalah sebab depan pulau sahaja dah banyak coral-coral yang cantik. Ada yang bernasib baik boleh jumpa pari, penyu dan ikan yu.
Bestnya bersantai di pasir
12) Aktiviti
Snorkeling, berkayak, junggle tracking, hill climbing dan bagi ikan makan hanya di depan resort sahaja.
13) Pelancong asing
98 peratus pelancong yang datang adalah pelancong luar. Susah nak jumpa orang melayu kecuali staf. Tapi ok saja, pelancong yang datang pun jenis ramah-tamah.
14) Bawa mineral water
Air paip yang digunakan di pulau adalah air laut yang ditapis. Tiada bekalan air bersih macam kita di rumah. Sebaik-baiknya bawa mineral water.
Bagaimana? Minat untuk ke pulau persendirian ini? Sangat sesuai untuk yang mencari ketenangan kerana tidak ramai pengunjung di sini berbanding pulau lain. Mungkin harganya agak mahal tapi ia sangat berbaloi dengan panorama, persekitaran, kualiti perkhidmatan, makanan dan lain-lain. Pendek kata ia eksklusif. - CARI
Kredit : Wan Khairul Kilmore menerusi Backpackers Buddies Malaysia (BBM)
|
|