Katanya, kerana ketinggian bumbung, penduduk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba untuk menurunkan mangsa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.32 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama 11 anggota daripada agensi penyelamat lain seperti polis, APM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit dalam tugas menyelamat mangsa kemalangan.
"Kami mengambil masa 10 minit menggunakan tiga unit tangga, satu unit pengusung dan tali pengikat untuk menurunkan mangsa yang tercedera," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Civic dipandu lelaki berusia 36 tahun dari Melor cuba memotong Perodua Kancil namun bertembung motosikal arah bertentangan.
Menurutnya, kejadian menyebabkan penunggang motosikal melambung atas bumbung dari jarak lima meter manakala kereta merempuh pagar bengkel.
Katanya, kemalangan turut membongkar kegiatan jenayah apabila polis menemui dadah jenis heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda dalam kereta berkenaan.
"Rampasan membabitkan nilaian RM3,020 selain pemandu kereta ditahan polis.
"Ujian air kencing turut mendapati mangsa positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kes dadah disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.