SEORANG wanita berusia 51 tahun tidak sedarkan diri ketika memanjat pokok setinggi 10 meter di Kampung Lubok Dulang, Ayer Lanas, di sini, hari ini. FOTO ihsan JBPM Jeli
Jeli: Wanita diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli selepas memanjat pokok setinggi 10 meter dalam kejadian di Kampung Lubok Dulang, Ayer Lanas, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 9.33 pagi, sebelum terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita berada di atas pokok.
Katanya, wanita berusia 51 tahun itu dipercayai dalam keadaan separuh sedar atau berhalusinasi serta enggan turun walaupun sudah beberapa kali cuba dibantu oleh keluarga dan beberapa penduduk kampung di sekitar lokasi kejadian.
"Seramai 10 pegawai dan anggota terbabit untuk misi menyelamat mangsa yang memerlukan pihak JBPM menggunakan tangga untuk membawa mangsa turun daripada pokok berkenaan.
"Anggota mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk mangsa supaya turun, namun ketika berinteraksi dengan wanita berkenaan, dia tiba-tiba pengsan dan tidak sedarkan diri menyebabkan anggota terpaksa mengangkatnya untuk dibawa turun.
"Mangsa juga mempunyai rekod kesihatan membabitkan tekanan dari hospital dan dipercayai beberapa kali bertindak di luar kawalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Adni berkata, mangsa dapat dibawa turun dengan selamat tanpa sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada keluarga untuk mendapatkan rawatan seterusnya.
Katanya, kemahiran yang ada pada anggota bomba memudahkan pihaknya menyelesaikan kes seumpama itu supaya tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini sepanjang misi menyelamat.
Disiarkan pada: Disember 8, 2021 @ 12:57pm
|