View: 455|Reply: 5
|
[Pulau Pinang]
Empat ADUN Bersatu diarah keluar dewan
[Copy link]
|
|
Empat ADUN Bersatu diarah keluar dewan
Oleh SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI06 Mac 2023 01:15pm

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
GEOREGTOWN - Usul untuk mengosongkan kerusi terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang diadakan pada Isnin.
Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan disokong oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) yang kemudiannya mendapat sokongan majoriti ahli dewan.
Susulan daripada itu, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim; ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin diarahkan keluar dari dewan.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada 2020 perlu mengosongkan kerusi mereka.
Keempat-empat wakil rakyat itu kemudian telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.
Dua minggu selepas itu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.
|
|
|
|
|
|
|
|
Pulau Pinang nafi terburu-buru bentang usul kosongkan kerusi
oleh SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI06 Mac 2023 04:46pm

Chow Kon Yeow
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan mengatakan usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menunggu dua tahun setengah untuk membawa usul tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas proses perundangan di mahkamah diperolehi.
Menurutnya, dakwaan mengatakan kerajaan negeri membentangkan dengan tergesa-gesa juga adalah tidak benar.
"Kita sudah memberi notis pemberitahuan kepada keempat-empat ADUN 14 hari sebelum Persidangan DUN. Selain itu, kita sudah menunggu selama dua tahun setengah dengan mematuhi semua proses mahkamah dan undang-undang untuk membentangkan usul ini.
"Terima kasih kepada keempat-empat ADUN yang membawa isu ini ke mahkamah kerana akhirnya mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN daripada meluluskan usul undang-undang anti lompat parti ditolak.
"Setelah keputusan mahkamah diperolehi, baru usul ini dibentangkan di Dewan untuk dibahaskan seterusnya diluluskan," katanya ketika membahas usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi DUN Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, keempat-empat ADUN tersebut sebenarnya mempunyai masa yang cukup untuk membuat rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan kerusi terbabit sehingga rayuan berhubung perkara itu didengar.
"Keputusan mahkamah itu dibuat pada 2 Mac lalu, mereka ada tiga hari untuk membuat rayuan namun sehingga pagi ini (Isnin), kita tidak menerima sebarang rayuan dari mereka.
"Oleh itu, dakwaan mengatakan kerajaan negeri tergesa-gesa membentangkan usul ini adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Sebelum itu, usul untuk mengosongkan kerusi terhadap empat ADUN Parti Bersatu telah diluluskan oleh DUN yang diadakan pada Isnin.
Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dan disokong oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) yang kemudiannya mendapat sokongan majoriti ahli dewan.
Susulan daripada itu, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin diarahkan keluar dari Dewan oleh Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.
Selain empat ADUN tersebut, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (UMNO-Sungai Dua) turut berpendapat Kerajaan Pulau Pinang terburu-buru dalam membawa usul tersebut untuk diluluskan memandangkan masih terdapat beberapa perkara melibatkan usul berkenaan yang boleh dipersoalkan.
Kata beliau yang masih lagi memegang jawatan Ketua Pembangkang, antara perkara tersebut adalah ketidakseragaman akta lompat parti di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.
Selain itu katanya, kerajaan negeri sebelum ini tidak mengambil keputusan sama dalam kes melibatkan ADUN Pas, Datuk Mohd Salleh Man sewaktu Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada 2018.
"Saya tersepit sebenarnya, tetapi sejak dulu lagi, saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan mana-mana ADUN yang memilih untuk melompat parti. Saya nampak, pembentangan usul ini dibuat agak terburu-buru.
"Ini kerana, kes ini dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan bagaimana sekiranya mereka menang kelak? Ini boleh memberi kesan lain kepada kerajaan negeri dan jika ia berlaku, di mana imej dan kedudukan Kerajaan Pulau Pinang selaku pembuat keputusan?
“Sebab itu bagi saya, kerajaan negeri jika boleh, menangguhkan dulu dan tidak perlu melaksanakan usul pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun memilih untuk berkecuali dalam usul pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN tersebut.
|
|
|
|
|
|
|
|
4 ADUN Pulau Pinang tak lompat parti - Wan Saiful
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi - Mac 6, 2023 @ 4:49pm [email protected]

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan
KUALA LUMPUR : Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) semalam, mendakwa empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di Pulau Pinang tidak pernah melompat parti.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata adalah tidak wajar usul mengosongkan kerusi dikemukakan ke atas mereka pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri, semalam.
"Semua rakyat harus menyaksikan kesombongan gabungan DAP-UMNO di Pulau Pinang yang hari ini (semalam) membawa usul ke DUN Pulau Pinang untuk mengosongkan kerusi empat ADUN PN.
"Mereka kata ini disebabkan 4 ADUN terbabit melompat parti, tetapi faktanya ialah dua ADUN BERSATU tidak pernah keluar BERSATU dan dua ADUN PKR pula dipecat. Tidak ada yang lompat parti," katanya di Facebooknya, hari ini.
Katanya, kerajaan DAP di Pulau Pinang didakwa seolah-olah mahu menghapuskan suara PN di negeri itu.
"Mereka boleh tunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi mereka tidak mahu. Mereka boleh pinda Perlembagaan supaya selari dengan semangat Akta Anti Lompat Parti Persekutuan tetapi mereka tidak mahu.
"Inilah kesombongan DAP-UMNO dan kerakusan mereka membolot kuasa dengan menggunakan saluran perundangan," katanya.
Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi diwakili ADUN BERSATU mengikut Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai selepas selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN sebulat suara bersetuju meluluskan usul itu.
Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan 'ya' kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan 'tidak'.
Beliau mengumumkan senarai nama ADUN dan kerusi yang terbabit adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (ADUN Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (ADUN Telok Bahang).
Empat ADUN berkenaan pada 16 Disember lalu juga gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar peruntukan mengikut Enakmen Antilompat Parti di negeri itu.
|
|
|
|
|
|
|
|
'Kami akan kembali lebih besar dan kuat' - 4 bekas ADUN Pulau Pinang
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mac 6, 2023 @ 4:20pm [email protected]
GEORGETOWN: Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU yang diarah mengosongkan kerusi masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, berikrar untuk kembali dengan lebih kuat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Bekas ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, berkata meskipun keadaan yang tidak berpihak kepada mereka itu cukup perit untuk diterima, beliau bersama tiga lagi rakan senasib dengannya itu mengaku akur dengan keputusan terbabit.
"Tidak mengapalah kami terpaksa menerima perkara ini walaupun perit, tetapi Insya Allah kami akan kembali dengan lebih besar dan lebih kuat," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan DUN Pulau Pinang hari ini.
Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi yang diwakili ADUN BERSATU di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai setelah selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN yang sebulat suara bersetuju meluluskan usul terbabit.
Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan 'ya' kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan 'tidak'.
Selain Khaliq, tiga lagi ADUN terbabit adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).
Dalam pada itu, Khaliq menyatakan rasa hairan apabila wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) iaitu ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor, masih menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang pada pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN ke-14 hari ini.
Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) memiliki 33 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang dengan ADUN Penaga dari PAS, Yusni Mat Piah, satu-satunya wakil Perikatan Nasional (PN) dalam DUN, manakala dua lagi kerusi dimiliki BN.
Khaliq sepatutnya dicadangkan sebagai Ketua Pembangkang baharu berkata, adalah malang apabila mandat terbabit tidak dapat direalisasikan selepas usul berkenaan kekosongan kerusi diluluskan.
Beliau juga khuatir sama ada baki tiga wakil rakyat yang berada di blok pembangkang dapat menjalankan tugas semak imbang secara efektif susulan perkembangan terbaharu itu.
"Hari ini empat orang kami dipaksa keluar meninggalkan dewan....apakah akan jadi kepada suara pembangkang.
"Saya kasihan kepada sahabat saya ADUN Penaga kerana pada peringkat PN cuma tinggal beliau seorang sahaja," ujarnya.

Empat bekas ADUN daripada BERSATU meninggalkan sidang DUN Pulau Pinang selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing diluluskan hari ini - NSTP/MIKAIL ONG
|
|
|
|
|
|
|
|
'Tindakan zalim, cubaan hapuskan semak dan imbang di Pulau Pinang'
Oleh Fahmy A Rosli - Mac 6, 2023 @ 6:59pm [email protected]
KUALA LUMPUR: Usul mengosongkan kerusi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) yang diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini, didakwa merupakan cubaan untuk menghapuskan semak dan imbang di negeri itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau kesal dengan tindakan yang disifatkan 'zalim' dan seolah-olah mahu menghalang pengaruh PN di Pulau Pinang itu.
Sepatutnya, beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, tindakan itu tidak perlu, sebaliknya tunggu hingga DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tidak lama lagi.
"Ketakutan DAP-UMNO terhadap kebangkitan rakyat dan sokongan rakyat kepada PN semakin lama semakin jelas. Bagi saya, tindakan meluluskan usul mengosongkan empat kerusi ADUN PN di Pulau Pinang itu melambangkan ketakutan mereka.
"Mereka mahu menggunakan segala saluran perundangan bagi memastikan kebangkitan rakyat dan sokongan kepada PN dapat dilumpuhkan. Jadi, mereka menggunakan segala kuasa yang ada, termasuklah kuasa yang ada di DUN.
"Seharusnya, tunggulah dulu hingga PRN yang kita tahu tidak berapa bulan lagi. Namun, kerakusan mereka ini menyebabkan mereka meluluskan usaha sehingga hasilnya, lulus usul untuk memaksa empat ADUN PN di DUN Pulau Pinang mengosongkan kerusi, hari ini," dakwanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Sidang DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi ADUN daripada PN bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Speaker, Datuk Law Choo Kiang dilapor mengesahkan keputusan itu dicapai setelah selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian, dengan sokongan majoriti ADUN yang sebulat suara bersetuju meluluskan itu.
Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas ADUN hadir yang menyatakan 'ya' kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding yang menyatakan 'tidak'.
Beliau mengumumkan senarai nama ADUN dan kerusi terbabit adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (ADUN Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (ADUN Telok Bahang).
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata sebelum ini, pemimpin DAP pernah dilapor menyatakan ada keperluan untuk Kerajaan Pulau Pinang meminda perlembagaan negeri agar selaras dengan semangat akta antilompat parti pada peringkat Persekutuan.
"Namun, peraturan di Pulau Pinang tidak selaras dengan semangat peraturan pada peringkat Persekutuan, yang mana dua ADUN PN terbabit tidak pernah lompat parti kerana kedua-duanya bertanding atas tiket BERSATU dan kekal BERSATU.
"BERSATU keluar daripada PH, manakala dua lagi adalah ADUN yang dipecat daripada PKR dan mereka tidak pernah lompat parti juga. Jadi, semangat pada peringkat Persekutuan tidak diterjemahkan kerana dua yang dipecat itu serta dua yang kekal dalam BERSATU itu tidak pernah lompat parti tetapi dianggap lompat parti di Pulau Pinang," dakwanya.
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|