Butterworth: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam kabin pemandu 'prime mover' (lori terminal) yang dihempap kontena di terminal kontena, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 10.13 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun yang juga warga tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berhubung insiden berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah pemandu lori terminal syarikat pembekal jentera di terminal terbabit.
"Terdahulu, mangsa dikatakan membuat pusingan U ketika dalam perjalanan menghantar kontena ke kapal.
"Dalam kemalangan itu, kepala mangsa didapati tersepit di dalam kabin pemandu lori terminal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan itu berkata, susulan itu JKKP negeri mengeluarkan notis larangan bagi aktiviti kerja pengendalian lori terminal dan siasatan lanjut akan dijalankan Pegawai Penyiasat.
Katanya, tindakan perundangan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.
"JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja atau orang awam dan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas aktiviti di tempat kerja.
"Majikan bertanggungjawab bagi mengenal pasti terlebih dulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.
"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksana penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.