Filem misteri-suspens 'The Borneo Incident' yang dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini, mengisahkan tentang lima anak muda yang merakam perjalanan mereka dari New York ke Malaysia untuk tujuan mempelajari tentang asal usul salah seorang teman mereka, Henry di Borneo. Watak Henry dibawa oleh pengacara popular Henry Golding sementara empat sahabatnya dilakonkan oleh Rob Gilliland, Mitch Ross, Fay Hokulani dan Michael Helfman, yang juga selaku pengarah filem.
Ikuti temubual GUA bersama Henry Golding di bawah ini:
1. Bagaimana kamu mendapat watak Henry?
Idea itu sebenarnya timbul dari hubungan saya dan Mike (Helfman). Mike mempunyai idea yang hebat ini dan telah mereka satu cerita menggabungkan realiti dan fiksyen. Dia juga telah memasukkan info di mana saya separuh Iban. Jadi, boleh dikatakan Mike telah mereka watak itu untuk saya.
2. Sukar tak membuat peralihan daripada seorang pengacara kepada pelakon?
Ia sesuatu yang cukup asing bagi saya untuk tidak melihat terus pada kamera. Saya perlu mengubah minda saya dan menjadikan diri saya sebahagian daripada babak itu. Saya mengambil masa untuk sesuaikan diri tetapi lama-kelamaan saya mula biasakan diri.
3. Adakah selepas ini kamu akan terima lebih banyak tawaran berlakon?
Semestinya! Saya dan Mike sudah mempunyai perancangan untuk beberapa projek di masa depan. Sudah pasti ini bukan kali terakhir kamu melihat saya berlakon.
4. Persiapan untuk membawa watak Henry.
Nasihat terbaik yang Mike berikan kepada kami adalah untuk tidak membuat sebarang persiapan. Dia inginkan emosi yang benar dan untuk kami berlakon di masa kini, bukannya berpura-pura.
5. Kenapa kamu menerima tawaran ini?
Ia satu cerita yang menarik di mana semua orang patut datang dan menontonnya. Ia mempunyai elemen penggembaraan, penemuan dan keseronokan.
6. Sejauh mana persamaan di antara kamu dan watak kamu, Henry memandangkan cerita ini mengisahkan tentang Henry yang pulang ke Borneo untuk mempelajari tentang asal usulnya?
Bagi saya, setiap dari kita ingin tahu tentang asal usul kita. Cuma watak saya tidak hanya bercakap mengenainya, sebaliknya mengambil tindakan bersama kawan-kawannya.
7. Kenangan - yang baik, yang buruk - ketika penggambaran.
Keseluruhan proses penggambaran cukup menakjubkan. Tetapi yang paling dikenang adalah lokasi-lokasi indah di Malaysia yang sempat kami kunjungi seperti air terjun Janker, acara Thaipusam dan hutan Sarawak.
8. Harapan untuk filem ini.
Saya pasti penonton akan menyukai filem ini! Ia akan membuat mereka teringin untuk meneroka negara kita Malaysia yang indah ini, dengan dimasukkan sedikit elemen rekaan seram.
Last edited by eddlisa_uyuk on 7-3-2013 11:35 PM
|