CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7518|Reply: 0

[Dunia] Malaysia, Uzbekistan perbaharui komitmen kukuhkan hubungan ekonomi

[Copy link]
Post time 19-5-2024 10:27 AM | Show all posts |Read mode
(Gambar fail) Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH





SAMARKAND: Malaysia dan Uzbekistan akan memperbaharui komitmen untuk mengukuhkan hubungan ekonomi sempena hubungan diplomatik selama empat dekad, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited terhadap usaha kerjasama dengan Uzbekistan dalam pembaharuan perindustrian, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030.

"Salah satu tonggak utama perkongsian ekonomi ini ialah untuk meningkatkan hubungan perniagaan.

"Populasi muda yang besar dan pertumbuhan ekonomi Uzbekistan memberi peluang besar kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan kehadiran mereka di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia peringkat tinggi di Silk Road Samarkand Complex, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev.

Tengku Zafrul berkata, hubungan erat Malaysia dengan Uzbekistan serta persahabatan berkekalan sejak 32 tahun lalu yang berakar umbi dalam nilai, sejarah dan kepentingan bersama kedua-dua negara, telah menjadi asas kepada kerjasama diplomatik serta ekonomi yang kukuh.

"Lawatan sulung oleh Perdana Menteri ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan lebih kukuh antara kedua-dua negara, dan kami berharap hubungan perniagaan akan mencerminkan minat ini," katanya.

Tengku Zafrul berkata, adalah wajar bagi kedua-dua negara menggiatkan semula pembabitan mereka untuk merebut peluang baharu kerjasama melalui Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Uzbekistan.

Ia merupakan platform khusus untuk memupuk kerjasama ekonomi yang lebih erat, memudahkan perdagangan, serta meneroka peluang baharu untuk perkongsian dan kerjasama.

"Memandangkan kita kini hidup dalam persekitaran yang semakin kompleks, perdagangan lebih mantap harus disediakan untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan perniagaan.

"Sehubungan itu, Malaysia berminat untuk bekerjasama meningkatkan kemudahan perdagangan dan kemudahan menjalankan perniagaan antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata, salah satu agensi bawah kementeriannya, iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), telah mengambil pendekatan proaktif untuk menjalinkan kerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Uzbekistan (CCIU), menandakan permulaan kepada kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara.

Mengenai forum perniagaan peringkat tinggi itu, beliau berharap ia akan membuka jalan dan memangkin lebih banyak perkongsian antara komuniti perniagaan dan menggalakkan pemimpin perniagaan terus meneroka potensi kerjasama untuk manfaat bersama kedua-dua negara.

Tengku Zafrul ialah antara anggota delegasi Malaysia dalam lawatan ke Uzbekistan yang diketuai oleh Anwar.

Perdana Menteri berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari.

Beliau tiba di ibu negara Uzbekistan, Tashkent, semalam. – BERNAMA
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-9-2024 01:11 PM GMT+8 , Processed in 0.038403 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list